Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus mengkritik Datuk Seri Najib Razak kerana beliau mahukan seorang perdana menteri yang bekerja dan bukannya yang selalu melancong.
Bekas naib presiden Umno itu berkata, Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu merupakan seorang yang tegas dalam pentadbiran.
"Bila beliau kritik Najib, itu menunjukkan ada yang pincang dalam pentadbiran sekarang, mungkin beliau mahukan perdana menteri yang bekerja dan bukannya melancong," kata bekas menteri besar Selangor itu seperti dilaporkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily.
"Dr Mahathir tegas dalam segala hal membabitkan negara ini, beliau mahukan yang terbaik untuk rakyat," katanya.
Menurut Muhammad yang dikenali sebagai Mat Taib, semasa pentabiran Dr Mahathir, tidak timbul isu perkauman, malah tidak pernah ada kumpulan pendesak kaum seperti sekarang.
"Waktu Mahathir mana ada wujud Perkasa, Isma atau apa-apa kumpulan yang menunjukkan mereka terlalu Melayu.
"Beliau adil untuk semua kaum tapi bila Najb mengambil Putrajaya pelbagai konflik timbul ada banyak badan bukan kerajaan (NGO) pendesak dan cuba menimbulkan pelbagai pendapat-pendapat negatif," kata beliau yang kini merupakan timbalan ketua penerangan PAS itu.
Muhammad yang pernah menjadi menteri bimbang sikap lemah Najib dalam menangani isu membabitkan kaum yang boleh mengundang suasana tegang.
Menurut Harakahdaily, beliau turut berpendapat, Dr Mahathir tidak akan berdiam diri selagi Najib tidak mengikut apa yang beliau kehendaki serta sealiran dengan pentadbirannya sebelum ini.
Minggu lalu, Dr Mahathir berkata, beliau menarik balik sokongannya kepada Najib dengan berkata segala tegurannya dalam pelbagai isu hanya sampai ke telinga yang pekak.
"Saya tidak ada pilihan melainkan menarik balik sokongan saya. Ini tidak berkesan, jadi saya kritik," katanya sambil menambah prestasi Najib lebih buruk berbanding penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Banyak polisi, pendekatan dan tindakan kerajaan di bawah Najib memusnahkan hubungan antara kaum, ekonomi dan kewangan negara," kata Dr Mahathir.
Antara isu yang disenaraikan ialah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sikap "lemah" Najib terhadap negara jiran dan penggunaan wang negara untuk mendapatkan sokongan rakyat setiap kali pilihan raya.
Semalam bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam mengatakan Dr Mahathir hanya akan berpuas hati sekiranya klonnya mentadbir Putrajaya.
"Lihat kepada semua timbalan yang bekerja dengan Mahathir sepanjang 22 tahun. Saya antara yang dianggap sebagai merbahaya," kata Musa.
"Tun Ghafar Baba (1986-1993) dianggap sebagai baik, setia. Datuk Seri Anwar Ibrahim (1993-1998) boleh dianggap sebagai pengikut beliau paling teruk, Anwar dikatakan tidak setia dan buat itu dan ini.
"Tun Abdullah Ahmad Badawi (1999-2003) pula dianggap seorang yang baik," katanya.
Bagaimanapun, Musa berkata Abdullah juga senasib apabila disingkirkan Dr Mahathir daripada tampuk kuasa kerana dianggap lemah.
"Tapi selepas seketika, Mahathir melihat Abdullah sebagai perdana menteri Malaysia paling teruk dan lemah.
"Mahathir tidak gembira kerana Abdullah tidak mengikut telunjuknya, jadi beliau disingkir," katanya.
Selepas Najib dipilih sebagai pengganti Abdullah, Dr Mahathir secara terbuka memuji perdana menteri pilihannya itu dan menasihati Najib dalam banyak perkara.
"Tapi selepas Najib mula mentadbir mengikut caranya sendiri dan mengambil keputusan mentadbir tanpa gangguan, ia menjadi lebih buruk dan buruk kepada Mahathir.
"Mahathir berasa Najib tidak mendapatkan nasihatnya dalam isu yang penting tetapi dikatakan terpengaruh dengan orang luar," katanya.
Najib baru-baru ini bercuti selama dua minggu di Eropah. – 29 Ogos, 2014.
0 comments:
Post a Comment